Kuningan
Jawa Barat sememangnya sinonim dengan kewujudan ikan dewa yang digelar ikan
keramat. Ikan dewa merupakan spesies ikan yang amat jarang ditemui dan
pembiakannya hanya terdapat di beberapa kawasan di kabupaten Kuningan ini sehingga dikategorikan sebagai spesies ikan endemik.
Pusat Rekreasi Cibulan merupakan pusat rekreasi tertua di Kuningan. Mengikut Wikipedia, legenda menyatakan bahawa ikan dewa yang ada di dalam kolam Cibulan dulunya merupakan perajurit yang tidak setia pada pemerintah, lalu disumpah menjadi ikan. Kononnya jumlah ikan di dalam kolam ini tidak pernah bertambah atau berkurangan. Benar atau tidak, orang ramai tidak berani mengambil ikan itu kerana percaya sesiapa yang mengambilnya akan ditimpa kemalangan.
Saya
berbual dengan Pak Dadan mengenai ikan dewa. Menurutnya seorang wali telah
mendoakan agar ikan ini terpelihara dan tidak boleh diambil sewenang-wenangnya.
Kenapa ya? Kerana para wali dianugerahkan kelebihan untuk melihat masa depan
atau memiliki firasat. Mungkin ia bertujuan untuk mengekalkan kelangsungan spesies
ini lantaran rasanya yang sedap, tak mustahil akan pupus jika berterusan
ditangkap. Mereka yang mahu mengambil ikan tersebut perlu memohon doa wali
untuk memperkenankan niat mereka dan dijauhkan dari sebarang petaka. Itupun
setahun hanya sekali saja kebenaran itu diberi, dan ikan itu harus ditangkap
menggunakan tangan. Wali tersebut sudah meninggal dunia jadi tiada lagi doa
olehnya. Lantaran itu, penduduk tidak berani menangkap ikan tersebut lagi.
Saya tak
melepaskan peluang untuk melihat sendiri ikan dewa di Pusat Rekreasi
Cibulan. Bayaran masuk ialah Rp 7500. Mengetahui
pengunjungnya datang dari Malaysia, Pak Nasan berbesar hati menemani saya dan
rakan menjelajahi pusat rekreasi tersebut.
Sebaik sampai di sana, hujan turun pula. Lalu kami dibawa dahulu untuk mencuba terapi ikan menggunakan ikan nilem. Kawasan tersebut berbumbung, sekurang-kurangnya dapat kami berteduh sementara waktu. Sebaik mendengar nama ikan tersebut, saya teringat juadah tengah hari tadi di mana kami dihidangkan dengan ikan nilem goreng. Ikan nilem hanya terdapat di Kuningan , sejenis ikan yang menggemari singkong dan talas sebagai makanannya. Saya tak pernah pun buat terapi ikan begini, tapi sebab saya berada di Kuningan dan kerana itu ialah ikan nilem, apa salahnya mencuba. Memang terjerit-jerit kerana kaki terasa bagaikan dicucuk-cucuk dengan jarum halus. Besar juga ikan-ikan terapinya. Namun lama kelamaan mula terasa selesa dan tenang. Berat hati pula nak keluarkan kaki dari kolam takungan air mata air itu.
Terapi ikan nilem |
Seterusnya
kami ke Sumur Tujuh (akan diceritakan lain kali) dan ke kolam ikan dewa setelah
hujan berhenti. Pusat rekreasi ini kecil sahaja namun cukup mengujakan. Terdapat kolam besar yang mengandungi
puluhan ikan dewa dan pengunjung dibenarkan mandi di dalamnya. Ada ikan yang
jinak dan boleh dipegang. Tapi jangan melanggar pantang larangnya iaitu jangan
mengambil ikan keramat tersebut.
Kolam ikan dewa. Terapi ikan terletak di binaan bewarna jingga. |
Kunjungan
saya pada lewat petang membuatkan saya gagal mendapatkan gambar ikan dewa yang
lebih jelas. Apatah lagi pantulan cahaya langit pada riak dan alunan air
membuatkan gambar kurang menarik. Tapi dengan pandangan mata kasar, boleh dikatakan
yang ikan dewa kelihatan sangat hebat dan nampak elegan dengan warnanya yang
kekelabuan.
Pak Nasan bercerita tentang kisah ikan dewa.
Kisahnya tampak selari dengan penjelasan Wikipedia iaitu ikan-ikan itu
sebenarnya adalah prajurit pemerintah Prabu Siliwangi yang disumpah menjadi
ikan. Ujar Pak Nasan lagi, tatkala jam 12 tengah malam, jika disuluh ke dalam
kolam pasti tidak kelihatan walaupun seekor ikan dewa. Malah walaupun ikan ini
membiak, namun bila dihitung jumlahnya tetap sama dari dulu sampai sekarang.
Begitulah hikayat ikan dewa di bumi Kuningan ini.
No comments:
Post a Comment