Monday, April 22, 2013

Raikan Kreativiti Kempen Pilihan Raya 2013

Pulang ke kampung di Sik, Kedah sehari sebelum hari penamaan calon pilihan raya umum 2013 sebenarnya tidak dijangka. Kebetulan kami berhasrat untuk berkunjung ke rumah kakak ipar di Pulau Pinang. Jadi alang-alang sudah ke utara, ambil peluang keemasan untuk pulang ke kampung barang sehari. Perjalanan pulang kali ini sebenarnya amat menghiburkan. Mana taknya, setelah keluar dari tol Gurun, merentasi jambatan kecil di pekan Jeniang, melewati pekan Batu Lima hinggalah tiba di pekan Sik, suasana meriah pilihan raya memang terasa. Bukan setakat kibaran sepanduk dan bendera di kiri kanan jalan, tetapi uniknya pelbagai replika telah dibina oleh warga kedah di sini tak kira dari parti mana mereka wakili! Kreatif, berbakat dan terserlah kesungguhan untuk berkempen. Suasana berkempen di sini sangat aman menghormati sistem demokrasi yang ada.

Kreativiti membina replika juga merupakan kaedah kempen yang menarik. Replika sangat mudah menarik perhatian dan secara tak langsung memberi orang ramai berfikir mengenai aspirasi dan perjuangan parti.
Kagum melihat hasil seni anak tempatan. Tahniah kepada mereka yang terlibat. Terserlah semangat berpasukan dan kerjasama yang diberikan. Khabarnya di Baling lagi hebat dan meriah. Malah berita tentang pembinaan kapal terbang yang boleh dinaiki tersebar luar hingga ke pekan Sik. Teruja untuk melihat sendiri, kami menuju ke Kg. Batu Besar. Memang replika tersebut sangat menarik perhatian. Kanak-kanak apatah lagi... "Nak naik kapal terbang!!"
 Selamat mengundi untuk rakyat Malaysia. Pilih yang terbaik untuk menentu masa depan negara.

No comments:

Post a Comment