Wednesday, March 27, 2013

Dari Jakarta ke Bogor

Pada penghujung bulan Februari 2013, saya berpeluang untuk berkunjung ke Kuningan, Indonesia. Jika sebut Kuningan, jangan terkeliru pula kerana terdapat dua tempat bernama Kuningan di Indonesia. Satu terletak di Jakarta dan satu lagi terletak di Jawa Barat. Jadi jika mahu ke Kuningan, pastikan dahulu Kuningan mana yang hendak dikunjungi. Kuningan di Jakarta merupakan kawasan bandar yang dikelilingi bangunan dan pusat membeli belah, sebaliknya Kuningan di Jawa Barat terletak di pinggir gunung dan harmoni dengan keindahan alam semula jadi.

Lapangan terbang terdekat untuk ke Kuningan Jawa Barat adalah Lapangan Terbang Husein Sastranegara yang terletak di Bandung. Dari Bandung perlu menaiki bas sampai ke Cirebon. Seterusnya menaiki teksi ke Kuningan. Perjalanan dari Bandung ke Kuningan mengambil masa hampir tiga Jam. 

Walau bagaimanapun kembara saya ke Kuningan bermula dari Jakarta kerana diatur supaya dapat berkumpul dengan peserta luar negara yang lain yang tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Soekarno Hatta. Sebaik selesai urusan imegresen, kami menaiki teksi Alphard milik syarikat SilverBird. Tiada urusan di kaunter, cuma perlu bertemu dengan pekerja yang sedia menanti penumpang di kawasan parkir khas dan nyatakan tempat yang ingin dituju. Bayaran airport service per teksi dikenakan sebaik menaiki teksi, dan bayaran seterusnya adalah berdasarkan meter dan perlu diberikan kepada pemandu teksi bila tiba kelak.
   
Kami menuju ke Bogor. Di sana tempat kami berkumpul dengan yang lain dan juga mereka dari Indonesia. Penempatan disediakan di IPBC hotel yang baru berusia setahun operasinya. Benar-benar bersebelahan dengan IPB Convention Center. Penginapan yang selesa dan saya minat dengan bilik hotel yang pada saya, susun atur dan hiasan dalamannya sangat ‘comel’.

Hiasan kamar yang ringkas dan menarik.
Tatkala mengetahui yang saya akan bermalam di Bogor sebelum ke Kuningan, awal-awal lagi saya telah menghubungi beberapa kenalan di Bogor untuk bertemu. Tapi kerana masa yang terhad, saya cuma sempat bertemu dengan ibu Zuraida, rakan kembara yang amat akrab. Ibu Zuraida tidak mengambil masa yang panjang untuk datang ke hotel bersama suaminya. Kami dibawa makan malam masakan padang dan pusing-pusing di sekitar Bogor menaiki kereta Honda Civic dalam kedinginan malam dan renyai-renyai hujan. Bogor tempat yang menarik untuk dikunjungi dan memiliki beberapa makanan istimewa yang patut dicuba. Ibu Zuraida bersungguh-sungguh mahu membawa kami ke beberapa tempat menarik yang lain, tapi kami menolak dek keletihan dan ingin pulang ke hotel untuk berehat. Ibu Zuraida berpesan untuk datang lagi lain kali kerana banyak lagi tempat yang boleh dikunjungi.

Masakan Padang yang sangat sedap!
Restoran Trio Permai
Sebelum melangkah ke hotel, kami singgah sebentar di Convention Center melihat tempat membeli-belah yang agak meriah di dalamnya. Tapi sekejap saja di sana… penatnya rasa.

Keesokan paginya, kami berkumpul di lobi hotel dan bersama-sama menaiki bas ke Kuningan. Perjalanan bermula pada 8.30 pagi. Jangkaannya hari minggu ini, jalan raya agak sesak dan melewatkan perjalanan, tapi salah pula. Rupanya pilihan raya kecil sedang berlangsung. Jalan sangat lancar dan kami tiba pada pukul 3.30 petang,  tiga jam lebih awal. Gunung Ciremai berdiri megah menyambut ketibaan kami di hotel Tirta Sanita.

No comments:

Post a Comment